SELAMAT DATANG

Sabtu, 16 Jun 2012

PEPERIKSAAN PERKHIDMATAN PEMBANTU MAKMAL C17

Bahagian Pembangunan dan Penilaian Kompetensi (BPPK), Kementerian Pelajaran Malaysia sedang dalam usaha untuk menambahbaik sukatan peperiksaan perkhidmatan bagi  Pembantu Makmal C17.

Difahamkan sukatan baru berkenaan akan dimuat naik ke laman sesawang Sistem Peperiksaan Perkhidmatan Awam (SISSPA) - www.moe.gov.my/sisppa pada awal bulan Julai nanti. Kepada calon yang akan menduduki peperiksaan pada bulan Ogos nanti dinasihatkan untuk merujuk kepada sukatan berkenaan terlebih dahulu. 


Maklumat lanjut mengenai pendaftaran dan surat siaran mengenai peperiksaan perkhidmatan sila lihat http://apps1.moe.gov.my/bppk/

Sebarang pertanyaan dalam hal ini boleh berhubung dengan urusetia BPPK di talian 0383179063/64/66/67. Harap maklum. 

Maklumat disampaikan oleh Pengerusi KSKM Kedah.

Jumaat, 15 Jun 2012

PANDUAN PERTUKARAN PEGAWAI AWAM

Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 3 Tahun 2004


1.  Tujuan pekeliling ini adalah menjelaskan urusan pertukaran pegawai awam supaya dapat dilaksanakan dengan lebih teratur, berkesan dan seragam.

2.  Pertukaran merupakan salah  satu fungsi pengurusan sumber manusia yang penting. Pegawai akan dapat memberi perkhidmatan yang cemerlang.

3.  Objektif pertukaran :-

  • peningkatan produktiviti seseorang pegawai dan seterusnya organisasi tempat mereka berkhidmat;
  • menambah serta mempelbagaikan pengalaman, pendedahan dan proses pembelajaran di kalangan pegawai terlibat yang mana proses ini amat berguna untuk kemajuan kerjaya mereka;
  • membendung rasa bosan bertugas di satu tempat dan menjalankan tugas yang sama dalam tempoh masa yang panjang;
  • memperluaskan lagi networking pegawai kerana ini dapat membantu mempermudahkan mereka melaksanakan tugas jawatan masing-masing;
  • mencegah sebarang kemungkinan berlakunya penyelewengan, penyalahgunaan kuasa dan rasuah;
  • memberi peluang kepada pegawai diselia oleh penyelia yang berbeza supaya penilaian prestasi mereka dapat dibuat dengan lebih saksama;
  • membolehkan pegawai melihat organisasi di mana mereka ditempatkan dari perspektif yang berbeza dan dengan itu mereka diharap dapat mencuba pendekatan baru yang boleh mempertingkatkan lagi keberkesanan organisasi berkenaan; dan
  • memberi peluang kepada pegawai mendapatkan tugas yang sesuai dengan minat, kebolehan, latihan dan pengalaman mereka supaya mereka dapat mencapai penghasilan kerja yang maksimum.
Maklumat selanjutnya sila ke laman www.jpa.gov.my/pekeliling/pp04/bil03/ppbil03.pdf

KSKM Kedah mengucapkan kepada semua Pembantu Makmal yang mendapat surat arahan bertukar "Selamat bertugas di tempat baru dengan semangat yang baru, semoga lebih bertenaga dan mendapat ilham baru untuk peningkatan penghasilan kerja".



Selasa, 12 Jun 2012

PERTUKARAN PEMBANTU MAKMAL BESAR-BESARAN


Puan Mariah binti Salleh selaku Pengerusi KSKM Kedah telah dimaklumkan oleh Ketua Sektor 2P (Sektor Pengurusan dan Pembangunan) tentang rombakan secara besar-besaran bagi staf sokongan di Jabatan Pelajaran Kedah. 

Rombakan dimulai dengan perjawatan Pembantu Makmal berkuatkuasa pada 1 Julai 2012.
Rombakan dilakukan atas arahan Bahagian Pembangunan Sumber Manusia, Kementerian Pelajaran Malaysia. Kebanyakan JPN negeri-negeri lain telah dan sedang melaksanakannya.

Pertukaran hanya melibatkan Pembantu Makmal yang telah berkhidmat di sebuah sekolah genap atau melebihi 10 tahun. Kebanyakan pertukaran hanya melibatkan pergerakan di dalam daerah sahaja. Seramai 160 orang PM yang terlibat.

KSKM Kedah mengucapkan kepada PM yang bertukar selamat bertugas di sekolah baharu dengan sedikit nasihat agar dapat menyesuaikan diri dan bersikap positif menerima perubahan. Mudah-mudahan akan lebih ceria dan dapat memotivasi diri dengan suasana yang baharu.

Rabu, 6 Jun 2012

SERAHAN 'LAB COAT' BAGI PEMBANTU MAKMAL C22 DAN C17


Hasil perjuangan KSKM Kedah melalui Mesyuarat Majlis Bersama Jabatan (MBJ), Jabatan Pelajaran Negeri Kedah, semua Pembantu Makmal C17 dan C22 yang bertugas di sekolah-sekolah di bawah naungan JPN Kedah telah mendapat peruntukan sehelai kot makmal.

Puan Mariah binti Salleh selaku Pengerusi KSKM Kedah yang telah menghadiri mesyuarat berkenaan berjaya mendapatkan peruntukan tersebut. Berbagai perkara telah diperjuangkan untuk kebajikan semua Pembantu Makmal di negeri Kedah tanpa mengira ahli atau bukan ahli KSKM.

Sempena majlis perasmian Kursus Pengurusan Aset Alih di daerah Kubang Pasu, Kuala Muda/Yan dan Baling/Sik seramai 215 orang Pembantu Makmal dari daerah berkenaan telah menerima kot makmal masing-masing.

Pengerusi KSKM Kedah sebagai ahli mesyuarat majlis berkenaan sentiasa memperjuangkan apa saja masalah staf makmal yang berkaitan dengan tugas dan kebajikan.

Bagi lain-lain daerah yang masih belum menerima kot makmal berkenaan, KSKM Kedah sedang mengatur kaedah terbaik untuk menyampaikan dengan kerjasama PPD berkaitan, insyaAllah.
SUMBANGAN KHAIRAT KEMATIAN

Sempena majlis perasmian Kursus Pengurusan Aset Alih dan Stor Staf Makmal  Daerah Kuala Muda/Yan dan Baling/Sik KSKM Kedah bersama KSKM Pusat telah menyampaikan sumbangan khairat kematian kepada balu Allahyarham Encik Ahmad bin Ramli, Pembantu Makmal C17 dari SMK Baling yang telah kembali kerohmatullah pada Mac lalu.

Sumbangan telah disampaikan oleh Tuan Haji Mohd Roslan bin Ismail, Pegawai Pelajaran Daerah Kuala Muda/Yan selaku perasmi majlis tersebut.

Semoga roh Allahyarham di himpun bersama-sama dengan roh orang-orang yang beriman, amiinn..

Selasa, 5 Jun 2012


KURSUS PENGURUSAN ASET ALIH DAN STOR DI DAERAH KUBANG PASU, KUALA MUDA/YAN DAN BALING/SIK.  



Alhamdulillah, bersyukur ke hadzrat Allah SWT, dengan izin dan limpah kurnia rahmatNya maka kursus seperti di atas telah berjaya dilaksanakan.

KSKM Kedah mengucapkan terima kasih kepada Pejabat Pelajaran Daerah Kubang Pasu, Kuala Muda/Yan dan Baling/Sik atas kerjasama menjayakan kursus di atas. Peruntukan makan untuk peserta kursus telah dibiayai oleh PPD berkenaan.

Perasmian kursus telah dilakukan oleh Encik Rosly bin Ismail, Penolong PPD (Hal Ehwal Murid) yang mewakili Tuan Pegawai Pelajaran Daerah Kubang Pasu. Sementara di Sungai Petani perasmian telah dilakukan oleh Tuan Haji Mohd Roslan bin Ismail, Pegawai Pelajaran Daerah Kuala Muda/Yan. Seramai hampir 100 orang staf makmal telah hadir di Jitra dan seramai hampir 200 orang telah hadir di Suungai Petani.

Semasa kursus berlangsung peserta kursus menunjukkan minat yang mendalam terhadap isi ceramah yang disampaikan. Banyak soal jawab berlaku. Semoga dengan ilmu yang diperolehi dapat dimanfaatkan setelah balik bertugas nanti.

KSKM Kedah juga amat berterima kasih kepada PPD Kubang Pasu terutama kepada Pen PPD (Sains & Matematik) Encik Shamsuri bin Othman dan Pen PPD (Latihan) Puan Roziah binti Ahmad atas kerjasama dan komitmen yng diberikan dalam menjayakan program tersebut. Begitu juga kepada PPD Kuala Muda/Yan, Pen PPD (Kemanusiaan) Encik Soef bin Ismail dan PPD Baling/Sik, Pen PPD (Teknologi & Vokasional) Encik Zulkifli bin Abu Bakar.

Ceramah telah disampaikan oleh Encik Ashaari bin Maarof (Setiausaha Agong KSKM) yang berpengalaman luas dalam pengendalian pengurusan aset alih dan stor. Perasmian kursus juga dihadiri oleh Presiden KSKM, Encik Hamran bin Haji Ahmad yang telah menyampaikan ucapan dengan memberi info terkini mengenai perjuangan KSKM.

Puan Mariah binti Salleh selaku Pengerusi KSKM Cawangan Kedah telah berucap dalam ucapan aluannya menyeru kepada semua staf makmal yang belum menjadi ahli KSKM agar segera bertindak menjadi ahli bagi menambah lagi kekuatan KSKM. Selama ini sebarang aktiviti yang dianjurkan tidak mengira ahli atau bukan ahli. Adalah wajar dan adil agar semua staf makmal menjadi ahli supaya setiap hasil perjuangan dirasai dengan cara lebih bermaruah jika dibandingkan kepada bukan ahli yang tidak menyumbang sebarang yuran pun. 


Puan Mariah juga selaku pengerusi program bagi kedua-dua kursus tersebut amat berterima kasih kepada Jawatankuasa Kerja yang telah memberi kerjasama dan komitmen yang padu sehingga majlis tersebut berlangsung dengan lancar.


Semoga lebih banyak kursus dapat diadakan pada masa akan datang, InsyaAllah.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...